Apa-apa sahaja logo jika adalah benar-benar sebuah lambang salib, ia tidak boleh dipakai sama ada di baju atau lainnya bagi seorang Muslim. Kerana penganut Islam tidak dibenarkan mengiklankan sebarang perkara yang bertentangan dengan Islam. Dalilnya adalah cukup mudah iaitu firman Allah:-
وَلاَ تَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلإِثْمِ وَٱلْعُدْوَانِ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلْعِقَابِ
Ertinya : dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat siksa-Nya ( Al-Maidah : 2)
Imam Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat ini membawakan sebuah hadis yang menjelaskan lagi larangan memberi apa jua bantuan sama ada tersirat dan tersurat kepada hal ehwal yang bertentangan dengan aqidah dan hukum Islam. Hadisnya
ومن دعا إلى ضلالة كان عليه من الإثم مثل آثام من اتبعه إلى يوم القيامة ، لا ينقص ذلك من آثامهم شيئا
Ertinya : Barangsiapa yang menyeru atau mengajak ke arah sesuatu yang sesat (dosa), dia akan menanggung dosanya sebagaimana dosa-dosa orang yang mengikuti ajakan dan seruannya sehinggalah hari kiamat, tidak terkurang dosa itu walau sedikit ( Riwayat Muslim & Ibn Majah )
RED DEVIL, CARLSBERG & CHEVROLET
Jika ia bukan lambang salib, tapi hanya dirasakan sebagai salib hasil imaginasi sendiri, maka tiada masalah untuk memakainya, contohnya seperti kereta Chevrolet. Lambang kereta ini, seseorang individu mungkin menganggapnya sebagai salib namun jika dilihat di forum ini, penganut Kristian merasakan lambang Chevrolet itu adalah anti-kristian dan bukannya pro kristian. Apapun, jika seseorang itu secara tidak dapat dikawal sentiasa terbayang merasakan ia lambang salib, tatkala itu, elok ia dijauhi juga. Namun, dalam konteks biasa, logo kereta tersebut bukanlah salib.
Satu persoalan berkaitan adalah lambang Red Devil pada logo Manchester United.
Walaupun hakikat sebenarnya kita tidak tahu bentuk Syaitan yang sebenarnya, namun apabila manusia telah membuat imaginasi tersendiri berkenaan bentuk Syaitan, menamakannya sebagai Devil dan diterima umum sebagai satu lambang Devil. Tatkala itu lambang Red Devil yang berada di logo Manchester United juga termasuk di antara logo-logo yang TIDAK BOLEH, diiklankan dan disyiarkan (ditayang dan dibanggai) oleh seorang Muslim sama ada ditampal di dinding mahupun digunakan di atas pakaiannya.
Justeru, apa-apa logo jika telah diterima umum sebagai satu lambang syaitan, kemungkaran, kejahatan, heavy metal dihiasi amalan dan perbuatan kesyaitanan seperti (Black Metal), logo itu telah menjadi haram untuk digunapakai.
Berbalik kepad Red Devil, jika ia benar-benar membawa imej umum sesuatu yang bersifat kesyaitanan, atau apa-apa aktiviti kesyaitanan dan dosa, tatkala itu ia sudah termasuk dalam kategori Black Metal dan sememangnya tidak terlepas dari hukum haram.
LOGO MANCHESTER UNITED HARUS DAN MAKRUH BILA ?
Tetapi jika imej kesyaitanan dan aktviti dosa besar seperti Black Metal tersebut tidak berkait dengan Red Devil, kerana ia lebih membawa imej umum kepada hal bola sepak dan sukan, tatkala itu ia masih boleh digunakan.
Begitu juga jika ada individu tertentu boleh menyongsang arus lalu mendakwa ia berjaya mengelakkan hati dan pemikirannya dari mengakui ia sebuah lambang syaitan, dan kekal merasakan ia hanya sebuah lambang kumpulan bola sepak terkenal dunia yang tiada kaitan dengan syaitan atau sepertinya, tatkala itu BOLEH dan DIHARUSKAN baginya untuk memakainya.
Walaupun begitu, jika ia boleh menimbulkan fitnah dikalangan orang lain yang melihat, sehingga pemakai dianggap selaku menyokong sesuatu yang diharamkan, hukum HARUS berubah kepada makruh. Kesimpulannya, dalam hal Red Devil, hukum boleh jadi berbeza-beza kerana kepercayaan, keyakinan si pemakai dan orang yang melihat. Yang terbaik, sudah tentulah menjauhinya akibat rasa syubhah yang wujud.
Yang pasti, individu yang soleh dan mengabdikan diri kepada Allah tidak akan sama sekali memerlukan logo ini di dalam kehidupannya. Jika berminat sekalipun, cukuplah menyokong pasukan tersebut dalam pertandingannya tanpa perlu melibatkan diri dan menghabiskan duit dengan membeli jersi-jersi dan barang berlogo sebegitu.
Namun begitu, memakai jersi pasukan Liverpool yang dengan jelas memaparkan logo arak Carlsberg adalah muktamad hukumnya adalah HARAM menurut hukum Islam berdasarkan dalil-dalil dan hujah sebelum ini dan juga yang diberikan di bawah.
LAGI DALIL HADIS
Selain dalil Al-Quran di atas, sebahagian dalil lain kepada pengharaman mengguna termasuk memakai sesuatu yang diharamkan untuk Muslim adalah hadis :-
نهانا رسول الله صلى الله عليه وسلم أن نشرب في آنية الذهب والفضة وأن نأكل فيها، وعن لبس الحرير والديباج
وأن نجلس عليه، وقال: هو لهم (أي للكفار) في الدنيا ولنا في الآخرة
Ertinya : Rasulullah Sallahualahiwassalam telah melarang kami makan dan minum dari bekas yang diperbuat dari emas dan perak, dan memakai (kaum lelaki) pakaian dari sutera dan juga menggunakannya untuk alas duduk, baginda juga berkata : itu semuanya untuk orang kafir di dunia, dan kita hanya dibenarkan di Syurga kelak. ( Riwayat Al-Bukhari)
Berasaskan dari hadis terbabit, lalu para ulama membuat kesimpulan sebuah kaedah iaitu :-
وما حرم استعماله حرم اتخاذه تحفة وزينة
Ertinya : dan apa-apa yang diharamkan penggunaanya, diharamkan juga mengambilnya sebagai barangan yang disayangi ( barang dianggap berharga = masterpiece) dan perhiasan. ( Al-Halal Wal Haram Fil Islam, Dr Yusuf Al-Qaradawi)
Kaedah ini menjawab persoalan sama ada ia diagungkan atau tidak, hakikatnya pemakaian, menjadikan hiasan sama ada sebagai pakaian, hiasan di rumah dan ditontonkan kepada orang ramai itu adalah sebenarnya secara langsung merupakan satu bentuk pengagungannya.
KESIMPULAN
Hukum memakai baju kumpulan bola berlambang salib secara jelas dan berlogo apaapa jenama yang diharamkan oleh Islam seperti Carlsberg itu adalah berdosa dan diharamkan untuk orang Islam memakainya dan dijadikan perhiasan dan masterpiece yang dibanggai.
Manakala hukum memakai pakaian yang berlambang Red Devil adalah di antara Harus dan Makruh sebagaimana yang disebutkan di atas dengan melihat kepada situasi yang berbeza-beza. Namun, sekiranya ia benar-benar dianggap sebagai logo dan tanda Devil dan tanda negatif dan kejahatan bagi masyarakat awam di sesuatu tempat, ia boleh berubah menjadi haram.
Manakala menggunakan kereta berlogo Chevrolet adalah harus.
Sekian
Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net
24 Julai 2010
ORIGINAL ARTICLE :
http://www.zaharuddin.net/content/view/944/72/
p/s : kalau kurang pasti dengan maklumat ni..bleh cari lgi maklumat2 lain dan dikongsi bersama.. tq.. Wallahua'lam..